PETALING JAYA – Seperti dijangka, Selangor FC berjaya menguasai derbi Lembah Klag selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah kendalian Katsuhito Kinoshi membariskan kesebelasan terbaik dengan Alvin Fortes, Ronnie Fernandez dan Faisal Halim mengetuai jentera serangan.
Namun, pasukan tuan rumah terpaksa bermandi peluh sebelum meraih gol tunggal menerusi rembatan jarak dekat yang dilakukan oleh Fortes pada minit ke-63.
Tersentak dengan gol tersebut, The City Boys berusaha untuk memperkemaskan jentera serangan dan hampir meraih gol penyamaan tetapi percubaan Haqimi Azim Rosli dan Jovan Motika pada penghujung saingan gagal menepati sasaran.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan pasukan Merah Kuning membalas dendam kekalahan yang diraih pada aksi liga awal musim ini.
Selangor kini kekal di kedudukan kedua liga apabila mengumpul 38 mata selepas 17 perlawanan manakala KL City pula kekal berada di tangga kesembilan dengan menghimpun 17 mata. – KOSMO! ONLINE