fbpx

Pokok tumbang, air limpah akibat air pasang besar di Pantai Semerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pokok ru yang berada di kawasan Pantai Semerak tumbang akibat air pasang besar yang melanda petang tadi. FOTO TOREK SULONG/KOSMO!

PASIR PUTEH – Pokok ru tumbang dan beberapa kawasan di Pantai Semerak di sini dilimpahi air laut susulan air pasang besar termasuk angin kencang yang melanda pada lewat waktu petang bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, keadaan itu dilihat semasa anggota polis menjalankan pemantauan di kawasan tersebut selama dua hari berturut-turut.

Menurutnya, justeru, penduduk yang tinggal di pesisir pantai perlu sentiasa berwaspada sepanjang tempoh air pasang besar yang berlaku ketika ini.

“Bendera merah di kawasan Pantai Semerak sudah dinaikkan oleh pasukan keselamatan dan penyelamat agar tiada sebarang aktiviti air termasuk berenang, memancing atau bermain jet ski dilakukan ketika ini.

“Penduduk atau pengunjung perlu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerana tanda amaran dan sekatan sudah dipasang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambahnya, bukan masanya untuk bermain atau bersantai termasuk membuat rakaman bahan kandungan di kawasan Pantai Semerak ketika ini.

Tinjauan Kosmo! di Pantai Semerak petang tadi mendapati, beberapa pokok ru tumbang akibat ombak sekali gus menyebabkan peniaga di pesisir pantai mula mengemas barangan mereka ke kawasan yang selamat.

Selain itu, dua buah rumah penduduk di pesisir pantai dilihat digenangi air masin sedalam 0.3 meter dan penghuninya mengambil keputusan untuk bermalam di rumah saudara-mara malam ini.

Penduduk turut membuat sekatan jalan antara Pantai Bisikan Bayu ke Pantai Kampung Pachakan bermula pukul 6.30 petang tadi apabila air laut melimpah ke kawasan pesisir pantai. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI