JAKARTA – Hadiah sebuah motosikal yang diberikan kepada seorang bidan di Polewali Mandar, wilayah Sulawesi Barat, ketika dia dinobatkan sebagai pekerja contoh ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan, lapor laman berita Detik hari ini.
Ia berpunca daripada urusan peruntukan dana pembelian hadiah yang belum diselesaikan oleh jabatan kesihatan.
“Setelah kunci motor diserahkan di Hospital Daerah Pratama Wonomulyo, saya berhasrat mahu membawanya pulang.
“Namun, saya diberitahu bahawa saya hanya boleh mengambilnya pada minggu seterusnya kerana mereka (pihak kementerian) mahu menyelesaikan urusan (pembelian motosikal) di pejabat daerah,” kata bidan tersebut, Rusmiati Aminuddin.
Penyerahan hadiah itu telah dilakukan secara simbolik oleh Pemangku Ketua Daerah Polewali Mandar, Muhammad Ilham Borahima pada November tahun lalu.
Rusmiati berkata, dia berasa malu kerana sudah bergambar dengan motosikal tersebut dan semua rakan sekerja telah mengetahuinya.
Sementara itu, Ketua Kesihatan Polewali Mandar, Dr. Mustaman berkata, hadiah tersebut ditarik balik kerana peruntukan kewangan belum diselesaikan.
Mustaman mengaku pihaknya sudah mengusulkan peruntukan tersebut kepada badan kewangan daerah itu. – AGENSI