KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun, China kembali menguasai acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas Shi Yu Qi menewaskan juara bertahan dari Denmark, Anders Antonsen.
Kemenangan straight set 21-8, 21-15 yang diraih Yu Qi pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi menyaksikan penguasaan Denmark dalam acara itu sejak 2022 berjaya disekat.
Yu Qi berkata, dia gembira kerana dapat membantu China menamatkan kemarau kejuaraan dalam perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dilakukan ikon badminton dunia, Lin Dan pada edisi 2019.
“Saya sangat gembira kerana sudah lama perseorangan lelaki China tidak memenangi kejuaraan di Malaysia. Tahun lepas, saya bermain menentangnya (Antonsen) dan dia menampilkan aksi cukup baik.
“Kali terakhir kami bertemu di Jelajah Dunia Akhir, saya menewaskannya, jadi sudah tentu dia mahu membalas dendam. Oleh itu, saya buat persiapan sebaiknya untuk perlawanan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.
Sementara itu, Kim Won Ho-Seo Seung Jae mengekalkan rentak cemerlang apabila meraih gelaran acara beregu lelaki selepas menang 19-21, 21-12, 21-12 ke atas Chen Bo Yang-Liu Yi dari China dalam tempoh 63 minit.
Terdahulu, jaguh perseorangan wanita Korea, An Se Young berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu selepas mudah menewaskan Wang Zhi Yi dari China dengan aksi straight set 21-17, 21-7.
Dalam acara beregu wanita, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto memastikan gelaran menjadi milik mereka selepas membenam cabaran beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 17-21, 21-15, 21-15 dalam tempoh 1 jam 35 minit.
Gelaran bagi acara beregu campuran pula dirangkul pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan menerusi aksi tiga set 21-13, 19-21, 21-18.
Sebagai rekod, pemenang bagi acara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai AS$101,500 (RM456,750) berserta pingat manakala juara beregu pula meraih AS$107,300 (RM482,850) dan pingat.
Dalam pada itu, naib juara masing-masing membawa pulang AS$49,300 (RM221,850) dan AS$50,750 (RM228, 375) serta pingat. – KOSMO! ONLINE