KOTA TINGGI – “18 tahun saya menanti kehadiran Aieman dalam hidup kami, tidak sangka dia akan pergi dulu,” luah Masanah Buyong, 60, ibu kepada Aieman Azriq Ahmad, 22, yang maut dalam kemalangan melibatkan Toyota Vios dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 8.9, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini kelmarin.
Kemalangan pada pukul 12.52 tengah hari itu turut meragut nyawa, isterinya Nur Fazilah Noor Azmi, 22, bayi mereka, Aryan Khalif berusia lima bulan serta rakan mereka, Mohammad Rasyid Razali, 18.
Masanah berkata, kehilangan itu memberi kesan mendalam kepadanya kerana mereka tinggal bersamanya saya di Kampung Temenin Baru.
“Paling saya sedih selepas terkenang untuk mendapatkan Aieman, anak nombor tiga daripada empat beradik mengambil masa 18 tahun jarak dengan abangnya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa anak dan menantunya adalah malam kelmarin sebelum mereka keluar, namun dia tidak tahu ke mana mereka pergi.
Katanya, dia mendapat tahu mengenai kemalangan itu daripada kumpulan WhatsApp keluarga yang memaklumkan anaknya terlibat dalam nahas tersebut.
“Seorang menantu lain kemudian hubungi saya sambil menangis meminta saya ke lokasi kejadian. Bila buka balik WhatsApp keluarga, saya lihat mereka beritahu cucu saya sudah meninggal dunia.
“Cuma yang tinggal anak sulung arwah berusia tiga tahun yang tidak mengikut ibu dan bapanya keluar kelmarin.
“Lagipun dia memang rapat dengan saya dan suami kerana kami yang menjaganya, kadangkala nenek dan datuk sebelah menantu bawa balik ke Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan yang meragut empat nyawa di KM 8.9, Jalan Kota Tinggi-Kluang dipercayai berpunca daripada kereta memasuki laluan bertentangan
Katanya, pemandu dan semua penumpang dalam kereta itu cedera parah di bahagian badan, kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.