AMPANG – Kanak-kanak lelaki 7 tahun yang dipercayai maut didera ibu dan kekasihnya merupakan seorang yang ceria dan peramah dengan jiran.
Menurut salah seorang jirannya, Nathen, 68, mangsa sering menegurnya apabila terserempak dan kali terakhir dia melihat mangsa di sekitar perumahan Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang, di sini, adalah pada Isnin lalu.
Katanya, mangsa dijaga ibu sepenuhnya selepas neneknya diserang angin ahmar dan rebah di rumah kira-kira dua bulan lalu.
“Adik itu memang peramah, bermain dengan anak jiran-jiran, bermain basikal. Dia tak ada cerita dipukul dan sebagainya.
“Kali terakhir saya lihat dia… hari Isnin nampak naik basikal dan di badan pun tiada kesan kecederaan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya lagi, dia juga terkejut apabila melihat berita ibu serta lelaki yang sebelum ini dipercayai bapa tiri mangsa (kekasih) ditahan kerana disyaki melakukan penderaan.
“Saya dan jiran-jiran ingat lelaki itu bapa tiri kerana mangsa pernah beritahu. Selepas neneknya strok dan tinggal bersama saudara lain, lelaki itu sering balik rumah pukul 3 ke 4 pagi setiap hari” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang ibu dan teman lelakinya yang disyaki mendera anak kandung berusia tujuh tahun ditahan di Taman Bukit Ampang, di sini, pada Jumaat.
Mangsa dipercayai telah didera oleh ibu kandung, 25, teman lelakinya, 36, semasa di rumah dan mengalami kecederaan seperti kesan-kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki disyaki dipukul dengan benda keras serta tumpul secara berulang.
Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah kerana pendarahan di dalam kepala.-KOSMO! ONLINE.