MKM Ticketing Travel and Tours (MKM) bukan sekadar berjaya mengembangkan perniagaannya secara domestik, tetapi telah berjaya mengukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa melalui pembukaan cawangannya di Indonesia.
Ketua Pegawai Strategik MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, rangkaian sulung di negara jiran itu yang mula dibuka pada tahun 2019 itu telah diterima baik oleh masyarakat tempatan di sana dan mula membawa jemaah umrah secara aktif dan konsisten pada tahun 2024.
“Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, kami tetap komited untuk mengembangkan perkhidmatan penerbangan kami secara global dengan permulaannya di Indonesia.
“Usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan keuntungan syarikat, tetapi juga ingin membawakan perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan selesa buat semua jemaah di seluruh dunia.
“Sebagai sebahagian daripada industri pelancongan tempatan, kami juga sentiasa berinisiatif dan komited untuk memenuhi segala permintaan serta kehendak pelanggan di pasaran terutamanya bagi mereka yang ingin membuat tempahan tiket penerbangan, pakej-pakej lawatan serta pelancongan.
“Selain itu, syarikat kami juga berdaftar dengan Kementerian Haji Saudi bagi menguruskan visa umrah dan juga mempunyai lesen haji daripada Lembaga Tabung Haji sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menguruskan jemaah haji tempatan,” katanya kepada Kosmo! dalam satu temu bual baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkembangan MKM sepanjang beroperasi?
Abdul Hadi: Syarikat ini telah beroperasi selama 13 tahun bermula 2011 dan berjaya membuka 10 cawangan termasuk satu cawangan di Indonesia, yang mana ia mencerminkan komitmen kami sebagai sebuah syarikat penerbangan yang sentiasa aktif dan komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti buat para jemaah.
Sepanjang beroperasi selama 13 tahun ini juga, kami berjaya menyantuni lebih 100 ribu jemaah haji dan umrah termasuk jemaah daripada Indonesia.
Kami juga menyasarkan untuk membawa sebanyak 2,000 jemaah haji dan umrah bagi tahun ini dengan jumlah jualan sebanyak RM150 juta.
Sasaran ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan lebih ramai orang yang dapat merealisasikan impian mereka ke tanah suci.
Berapakah modal untuk membuka perniagaan ini?
Kami mengeluarkan modal sebanyak RM2 juta untuk membuka perniagaan ini yang mana ia meliputi semua kos dan dana ini merupakan hasil daripada sumber dalaman syarikat tanpa bantuan daripada mana-mana agensi atau pihak ketiga.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini?
Sepanjang tempoh 13 tahun ini, pelbagai cabaran yang telah kami hadapi termasuklah ragam jemaah, perubahan peraturan di negara Arab Saudi dan juga persiapan saat akhir yang sering berlaku.
Untuk pembukaan cawangan di luar negara juga, syarikat kami turut berhadapan dengan cabaran besar seperti mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan di Indonesia, mencari rakan strategik yang sesuai serta menentukan lokasi operasi yang sesuai.
Namun, sambutan daripada masyarakat di sana terhadap perkhidmatan MKM ini adalah memberangsangkan dan sejak tahun 2024, kami telah mula membawa jemaah umrah dan haji secara aktif dari Indonesia.
Apakah keunikan MKM berbanding agensi lain dalam industri ini?
Kami menawarkan pakej pada harga yang sangat berpatutan dan bersesuaian dengan segmen pasaran, tawaran lokasi penginapan yang dekat dengan masjid dan kemudahan yang selesa, yang mana ia merupakan tarikan utama dalam perkhidmatan kami.
Sebagai rakan strategik penerbangan Amal by Malaysia Airlines dan Saudi Airlines, MKM turut bekerjasama dengan beberapa hotel terkemuka di Makkah dan Madinah untuk memperkukuhkan kepercayaan jemaah menerusi penyediaan perkhidmatan yang konsisten dan berkualiti.
Bagaimana pula dengan tawaran pakej dan harga?
Bagi perkhidmatan MKM, kami membuka tawaran kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang mahupun status ekonomi mereka.
Harga pakej termurah yang kami tawarkan adalah serendah RM6,990 untuk Umrah Musim Haji dengan tawaran penginapan yang dekat dengan masjid dan Kaabah serta eksklusif.
Bagi pakej premium, kami tawarkan dengan harga yang bermula RM10,990 untuk Umrah Menara Jam, yang mana kami turut menyediakan penginapan yang bertaraf lima bintang di Mekahdan Madinah serta perjalanan yang menggunakan tren kelajuan tinggi.
Apakah perancangan penambaikan bagi tahun 2025?
Kami menyasarkan pertumbuhan yang berterusan bagi tahun ini dengan sasaran untuk menambah lima lagi cawangan baharu di seluruh Malaysia selain daripada bercadang untuk merekrut lebih 200 ejen baharu bagi setiap tahun.
Dengan kekuatan sedia ada melalui 300 ejen, langkah ini dijangka mampu meningkatkan lagi capaian syarikat kepada lebih ramai jemaah.
Kami juga berinisiatif dan komited untuk bekerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan dan swasta bagi membantu lebih ramai umat Islam melaksanakan ibadah umrah pada kos yang kompetitif.
MKM Ticketing Travel & Tours boleh dihubungi di 011-1121 4188 atau layari haji.mkm.my untuk pendaftaran dan tempahan. -KOSMO! ONLINE