ALAM meningkatkan kesedaran terhadap budaya jalanan dan kebajikan haiwan terbiar di bandar, sekumpulan pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu pameran foto bertajuk ‘Jiwa Jalanan’.
Pengarah program, Adam Mukhriz berkata, pemeran tersebut diadakan bagi memenuhi syarat subjek Photo Communication untuk pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat.
“Untuk subjek ini, kami perlu mengadakan satu pameran foto.
“Bagi tema pameran kali ini, kami menggabungkan dua tema iaitu haiwan terbiar di jalanan dan budaya jalanan.
“Melalui tema ini, kami mahu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai haiwan terbiar di jalanan.
“Kami juga mahu menepis dakwaan bahawa haiwan jalanan ini kotor dan tidak layak disayangi.
“Bagi budaya jalanan, kami ingin menepis dakwaan bahawa budak-budak yang sering menghabiskan masa di jalanan mempunyai sifat-sifat tidak baik,” katanya.
Menariknya , di dalam pameran itu terdapat gambar-gambar yang menunjukkan remaja jalanan bersama haiwan terbiar.
Gambar-gambar tersebut menterjemahkan bahawa remaja jalanan juga suka dan sayang pada haiwan.
Menurut Adam, seramai 23 pelajar terlibat di dalam pemeran tersebut.
Jelasnya, setiap pelajar perlu menampilkan dua keping gambar, maka dalam pameran tersebut sebanyak 46 foto dipamerkan.
“Selain memaparkan keindahan kehidupan di jalanan, pemeran ini turut meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya melindungi haiwan terbiar.
“Melalui pameran ini, kami turut menyediakan platform mengumpul dana bagi menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited terhadap kebajikan haiwan,” ujarnya.
Sementara itu, pemeran Jiwa Jalanan bukan sekadar mempamerkan seni fotografi, malah ia menyediakan peluang kepada pengunjung mendekati haiwan terbiar.
Menariknya, haiwan-haiwan terbiar di dalam jagaan Persatuan Haiwan Malaysia itu sedia diambil oleh sesiapa yang berminat untuk dijadikan binatang peliharaan.
“Kerjasama dengan Persatuan Haiwan Malaysia adalah langkah penting dalam usaha untuk membantu haiwan yang memerlukan perlindungan ini.
“Malah dalam pameran ini, kucing-kucing terbiar dan haiwan lain turut dibawa untuk dipamerkan,” jelas Adam.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh yang hadir merasmikan pemeran tersebut berkata, pemeran berkenaan memberi impak tersendiri kepada para pelajar.
Menurutnya, melalui pameran tersebut para pelajar dapat meraih pengalaman tentang cara untuk menganjurkan sesuatu acara.
“Pameran yang mereka anjurkan ini bukanlah satu acara biasa.
“Sebaliknya, ia merupakan salah satu acara yang memberi impak positif terutamanya apabila mereka mengangkat tema tentang kesedaran melindungi haiwan jalanan.
“Ini merupakan salah satu ilmu yang perlu dikuasai oleh para pelajar.
“Jadi, apabila para pelajar mempunyai ilmu, mereka dapat menguruskan sesuatu acara dengan jayanya,” jelasnya.