SUNGAI PETANI – Keluarga kepada dua daripada tiga nelayan yang hilang selepas melakukan aktiviti merawai ikan tenggiri dekat Pulau Payar sejak Khamis lalu yakin mereka masih hidup.
Tiga nelayan yang hilang itu ialah Asrol Hisham Zainol, 47, dan anaknya, Shahril Aiman,17, serta rakan Asrol Hisham, Mohamad Amin, 30-an.
Ibu Asrol Hisham, Halimah Saari, 58, berkata, nalurinya kuat mengatakan anaknya dan cucunya itu akan ditemukan tidak lama lagi.
Katanya, anak kedua daripada enam beradik itu berpengalaman kerana telah lama menjadi seorang nelayan.
“Saya rasa enjin bot mereka mengalami masalah dan kemungkinan hanyut, bukannya karam.
“Insya-Allah mereka akan dijumpai selamat dalam masa terdekat selepas pelbagai agensi penyelamat melakukan usaha mencari sejak empat hari lalu,” katanya di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu Lintang,Tikam Batu di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, anak dan cucunya itu turun ke laut bersama seorang kenalan, Mohamad Amin yang tinggal di Taman Semarak untuk merawai ikan di Pulau Payar.
Katanya, Shahril Aiman hanya akan mengikuti bapanya ke laut pada cuti persekolahan menggunakan bot kepunyaan seorang lagi anaknya, Aswadi, 43.
“Sebelum anak saya turun ke laut pada pukul 12 tengah hari Khamis lalu, dia sempat mengingatkannya agar berhati-hati selepas mendapat maklumat keadaan laut khususnya di kawasan perairan Pulau Payar bergelora.
“Biasanya anak saya akan pulang dari merawai tiga atau empat jam kemudian, namun mereka gagal berbuat demikian sehingga keesokan harinya,” katanya.
Ibu Shahril Aiman yang dikenali Noriyati pula berkata, dia tidak sedap hati selepas gagal menghubungi anak bongsunya itu pada petang Khamis lalu.
“Biasanya kami selalu berhubung semasa dia bersama bapanya sedang merawai ikan. Rasa hilang nyawa apabila menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan kejadian anak saya hilang di laut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE