fbpx

Berisiko tinggi jika kereta sewa tiada permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan elektrik (EV) Smart antara jenama kenderaan yang disediakan dalam perkhidmatan Avis Malaysia.

SHAH ALAM – Individu yang ­menyewa kenderaan daripada pengusaha tidak berlesen atau tanpa permit berdepan pelbagai risiko keselamatan ketika berada di jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif DRB-HICOM EZ Drive Sdn. Bhd., Mohd. Syahrul Yusuf berkata, per­khidmatan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri dan keluarga, tetapi turut memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang lain.

DRB-HICOM EZ Drive, yang merupakan anak syarikat EON Berhad adalah pemegang lesen untuk syarikat kenderaan sewa antarabangsa, Avis, di Malaysia.

Menurut Syahrul, kesedaran mengenai peri pentingnya sewaan kenderaan hanya daripada syarikat berlesen yang mempunyai permit kenderaan sewa dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

“Untuk memperoleh permit kenderaan sewa, sesebuah syarikat perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Antara syaratnya, kenderaan sewa perlu melalui pemeriksaan mandatori secara berkala setiap enam bulan bagi memastikan kenderaan tersebut layak untuk disewa,” katanya kepada Kosmo! di Ibu Pejabat Avis Malaysia di EON Glenmarie, di sini baru-baru ini.

MOHD SYAHRUL

Pada masa sama, pihak Avis Malaysia juga melakukan pemeriksaan sebelum dan selepas kenderaannya disewa.

Syahrul berkata, pengusaha juga perlu mengambil insurans khusus bagi kenderaan sewa, yang turut melindungi pemandu serta penumpang sekiranya terjadi insiden yang tidak diingini seperti kemalangan. Ini tidak berlaku untuk kenderaan sewa tanpa permit.

“Contohnya, bila kita beli kereta, agreement (perjanjian) dengan bank akan menyatakan kenderaan itu adalah untuk kegunaan sendiri. Jadi, insurans untuk kenderaan tersebut tidak akan memberikan perlindungan kepada pemandu lain sekiranya kenderaan itu digunakan dalam satu perniagaan.

“Sudah tentu apabila berlaku kemalangan, penggunaan kereta sewa tanpa permit ini secara am­nya tidak dilindungi oleh insurans. Lagilah kalau ada kemalangan melibatkan kehilangan nyawa, pelbagai masalah akan timbul, “ ujarnya.

Katanya, perjanjian yang dibuat antara penyewa dan pengusaha tidak berlesen adalah tidak sah kerana ia merupakan kontrak yang menyalahi undang-undang. Bagi pemilik kenderaan pula, dia juga tidak dilindungi dan akan terdedah kepada risiko sekiranya kenderaannya digunakan oleh penyewa untuk kegiatan jenayah.

Pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan sita kende­raan termasuk mengenakan denda dan saman kepada pemilik kenderaan.

“Selain pemilik, pengguna pun mungkin disaman,” kata Syahrul.

Tambahnya, apabila penyitaan kenderaan berlaku, penyewa tidak boleh menggunakan ken­deraan itu lagi dan akan kehilangan duit sewa.

“Contohnya, kalau penyewa memandu ke Terengganu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sita kereta itu, mereka tidak boleh minta balik duit sewa dari pemilik kereta. Mereka juga tidak boleh minta kereta ganti.

“Ini kerana pengusaha tidak berlesen tidak mempunyai sistem sokongan sekiranya berlaku kemalangan atau kereta rosak. Pengguna perlu menyelesaikan segala masalah dengan sendiri,” jelasnya.

Syahrul berkata, walaupun kereta sewa tanpa permit sering menerima tempahan yang tinggi berbanding yang berlesen berikutan harganya yang lebih rendah, penyewa perlu sedar akan risikonya.

“Memang mereka lebih murah kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kos tambahan se­perti lesen dan insurans khas. Sebaliknya, risiko ditanggung oleh penyewa.

“Kalau nasib tak baik, disebabkan kita tidak mahu berbelanja lebih sedikit, penyewa terpaksa keluarkan kos berganda selain bergadai nyawa memandu kereta tanpa perlindungan.

“Lagi pun, jika kereta sewa tak berpermit melanggar kenderaan lain, pihak yang kena langgar pula terpaksa menuntut pampasan insurans mereka sendiri. Pada pandangan saya, tindakan ini hanya pentingkan diri sendiri kerana tidak memikirkan kesan terhadap orang lain,” ujarnya.

Syahrul menjelaskan, orang ramai boleh membezakan antara kereta sewa berpermit berbanding tanpa permit dengan melihat pelekat berbentuk hexagon yang ditampal pada kereta berkenaan. Individu juga boleh membuat semakan di laman web rasmi APAD sama ada pengusaha terbabit berlesen ataupun tidak.

Sebagai syarikat kenderaan sewa berlesen, Avis Malaysia menyediakan perkhidmatan ­penyewaan kenderaan jangka masa pendek. Pada masa sama, Avis Malaysia turut menyediakan pajakan jangka panjang bagi pelbagai jenis kenderaan.

Dengan pengalaman lebih 10 tahun di dalam industri, Avis Malaysia kini mengendalikan 18 lokasi sewa kereta bukan sahaja untuk individu, malah untuk entiti perniagaan juga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI