EMPAT tahun lalu tular video seorang penuntut kursus Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.
Video yang dimuat naik pada 12 Jun 2020 di platform YouTubenya, Veveonah telah menerima lebih 150,000 tontonan dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi UMS.
Kini, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, sudah menamatkan pengajiannya di UMS dan sekarang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di Management and Science University (MSU), Seksyen 13 Shah Alam, Selangor.
Menurut Veveonah, 23, peristiwa dia memanjat pokok demi mendapatkan isyarat internet amat manis untuk dikenang sebagai salah satu episod kehidupannya sebagai seorang pelajar universiti.
“Video tersebut menjadikan saya dikenali ramai sehingga pengikut di TikTok meningkat kepada 8,000 orang dan Instagram seramai 19,000 pengikut.
“Kerana video tersebut juga, saya berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri pada ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri kabinet seperti Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni,” katanya ketika ditemui di MSU baru-baru ini.
Veveonah yang merupakan puteri kepada Mosibin Makrun, 60, dan Rofinah Ungo,53, berkata, dia kini komited untuk melengkapkan pengajian di MSU yang disertainya Oktober tahun lepas.
“Sekarang adalah masa untuk belajar menjadi doktor dan berbakti kepada masyarakat,”
katanya yang juga pernah menyertai Tunas Saintis Se-MRSM dan berada tempat ketujuh kategori Fizik semasa menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sandakan.
Nasihat Veveonah kepada pengguna dunia maya, setiap fakta diperoleh daripada internet perlu disemak teliti agar tidak menjadi mangsa ‘scammer’.
Ujarnya lagi, amalkan sikap sederhana dan tidak taasub dengan fakta daripada dunia siber yang perlu diterapkan dalam diri setiap pengguna media sosial.
Sementara itu, menyentuh tentang aktiviti di MSU, Veveonah berkata, dia tidak sabar menanti peluang berbakti menerusi kokurikulum khidmat masyarakat yang wajib diikuti di MSU.
Menurut peminat buku komik dan pemain permainan video itu, sebagai bakal doktor dia amat peka dengan isu masyarakat di dalam dan luar negara.
Ujarnya, pergolakan di Palestin merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan sokongan sejagat agar kemelut di Gaza ditamatkan segera.
“Sebagai bakal doktor pada masa depan, dalam situasi peperangan saya perlu bersikap neutral ketika berhadapan pesakit.
“Seorang doktor perlu mempunyai rasa empati yang tinggi dan sentiasa komited menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai bakal pemimpin masa depan, Veveonah yang menggemari kopi dan teh buatan sendiri memberitahu, isu 10,000 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memerlukan pihak terbabit bermuhasabah diri.
Meskipun begitu katanya, pilihan untuk menduduki SPM atau tidak terserah kepada pelajar itu sendiri.
“Mereka boleh berfikir dengan rasional untuk masa depan mereka sendiri.
“Jadi, selamat berjaya saya ucapkan dalam menjalani kehidupan di zaman serba canggih ini,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan wanita dalam menerajui sesuatu organisasi pekerjaan, Veveonah berkata, dia berharap pihak kerajaan ataupun swasta memberi peluang kepada wanita untuk menjawat jawatan tinggi berdasarkan prestasi kerja dan kelulusan akademik yang cemerlang.
Veveonah juga berharap pemilihan wanita sebagai peneraju sesuatu jabatan dipilih tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.
Dalam pada itu, ditanya mengenai cinta dalam kalangan remaja semasa belajar di universiti, kata Veveonah, dia tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut.
“Apa yang penting sentiasa jaga jarak, emosi dan pastikan hubungan dengan pasangan tidak mempengaruhi pembelajaran.
“Ingat tujuan utama kita masuk universiti atau kolej,” katanya mengakhiri bicara.