MILAN – Gergasi Serie A, AC Milan dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker yang semakin hampir ke penghujung kariernya di Etihad selepas menghabiskan masa selama tujuh musim.
Pengendali City, Pep Guardiola mendedahkan bahawa Walker memberitahunya mengenai keinginan untuk mencari angin baharu karier dengan menyertai kelab di luar dari England.
“Beberapa hari lalu Walker memberitahu mengenai kemungkinan ada potensi untuk dia bermain di luar dari England. Dia sebelum ini menyatakan keinginan ketika kami memenangi trebel dan ketika itu tawaran daripada Bayern Munich tidak cukup baik untuk kami,” katanya.
Ketika jendela perpindahan musim sejuk masih dibuka, City tidak menolak kemungkinan penghijrahan tersebut boleh berlaku, namun Guardiola percaya khidmat Walker masih diperlukan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang West Ham United minggu lalu.
Berita mengenai keinginan Walker mencari destinasi baharu karier turut disambut oleh beberapa kelab dari Liga Arab Saudi dan Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat untuk turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Ketika kontraknya yang berbaki sehingga 2026 dan usianya yang semakin meningkat, yuran perpindahan melibatkan Walker dipercayai akan ditandakan pada harga yang munasabah.
Sejak menyertai City dari Tottenham Hotspur pada Julai 2017 pada harga £45 juta (RM246.85 juta), Walker telah membantu The Citizens merangkul enam gelaran EPL, dua trofi Piala FA, empat trofi Piala Liga Inggeris, trofi Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia. – AGENSI