KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia terus menyaksikan aksi final terus dikuasai pemain-pemain luar apabila tiada seorang pun wakil negara berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir.
Pada edisi kali ini, dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi wakil terbaik negara apabila berjaya melangkah jauh sehingga ke separuh akhir.
Selain itu, harapan seluruh peminat tanah air untuk menyaksikan kebangkitan pemain negara dalam acara perseorangan lelaki dan wanita hampa apabila Leong Jun Hao dan Goh Jin Wei terkandas seawal pusingan pertama.
Paling menyedihkan, tiada seorang wakil daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam perseorangan wanita sejak beberapa tahun lalu dengan Jin Wei beraksi sebagai pemain profesional.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, sukar untuk mencari pengganti yang memiliki permainan seiras dengan bekas jaguh perseorangan wanita negara, Datin Wong Mew Choo.
“Sehingga sekarang, kita masih belum ada pengganti Mew Choo. Dia dulu tidak memiliki rakan sepelatih yang setaraf dengannya tetapi bagaimana dia boleh memenangi kejohanan Terbuka China (2007).
“Pemain-pemain kita sekarang kerap merungut, cakap letih dan sebagainya. Untuk mencapai sesuatu (kejayaan) bukannya dengan merungut tetapi perlu berjuang dan dapatkan apa yang dimahukan,” katanya.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan wanita adalah 60 tahun lalu menerusi Datuk Rosalind Singha Ang pada edisi 1965.
Sementara itu, Rexy tanpa berselindung menjelaskan, pemain-pemain yang kerap merungut tidak akan kekal lama sekiranya mereka beraksi untuk negara-negara kuasa besar lain seperti China, Denmark, Jepun dan Indonesia.
“Maaf saya cakap, kalau itu (merungut) di China, Indonesia, Jepun atau Korea, mungkin (pemain) sudah kena buang dan saya perlu berterus-terang. Mahu menjadi pemain berkelas dunia, perlu tahan apa yang kita tidak suka,” ujarnya.