KUALA LANGAT – Seorang pengasuh yang terkait dengan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) telah ditahan polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, penahanan dibuat beberapa hari lalu dengan keterangan telah direkodkan bagi membantu siasatan.
“Pengasuh berusia awal 30-an itu bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan wujud unsur kecuaian yang membawa kepada kematian bayi lelaki tersebut di taska haram di Bandar Saujana Putra, di sini, baru-baru ini.
Siasatan polis mendapati kecuaian atau pengabaian pengasuh adalah meninggalkan mangsa dalam tempoh lama tanpa pemantauan sewajarnya.
Malah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim sebelum ini menjelaskan, siasatan pihaknya mendapati hanya terdapat dua pengasuh masing-masing berusia 20-an menjaga 25 anak asuhan sekali gus tidak mematuhi nisbah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012. – KOSMO! ONLINE