TAWAU – Lebih 60 rumah serta sebuah masjid penempatan atas air di Kampung Sri Aman Dua musnah terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, tiga mangsa berusia 14 dan 49 tahun mengalami sesak nafas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.46 pagi sebelum 55 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam operasi kerana rumah terlalu rapat, binaan daripada kayu dan keadaan angin yang tidak menentu
“Kami terpaksa membentangkan hos bomba sejauh 182 meter kerana air laut yang surut dan terdapat jambatan yang sudah runtuh,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba juga terpaksa menggunakan kaedah ‘fire break’ atau membongkar dua buah rumah supaya api tidak merebak ke kawasan lain. – KOSMO! ONLINE