KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap pasangan utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadikan kekalahan separuh akhir Terbuka Malaysia 2025 sebagai pengajaran berguna untuk menjadi lebih baik.
Nova mengakui pasangan ranking kelima dunia itu telah menunjukkan peningkatan, namun kelemahan mental masih membelenggu mereka sehingga gagal menyaingi beregu handalan dunia, khususnya dari China.
“Ini masalah lama, apabila pihak lawan mula mengejar, mental mereka terus terganggu. Tahun lepas pun situasi ini sering berlaku ke atas mereka berdua.
“Namun, saya lihat mereka sudah cuba memperbaiki kelemahan tersebut, cuma belum konsisten. Untuk bersaing dengan pasangan hebat seperti beregu China, kekuatan mental harus lebih kuat,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Tang Jie-Ee Wei gagal ke final selepas tumpas kepada pasangan China, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping dengan keputusan straight set 19-21, 14-21.
Dalam perkembangan sama, Nova turut mengulas kegagalan beregu campuran kedua negara, Hoo Pang Ron-Chen Su Yin tersingkir di pusingan awal.
Menurutnya, pasangan itu gagal menampilkan permainan sebenar di kejohanan bertaraf Super 1,000 tersebut, namun optimis mereka mampu bangkit pada kejohanan seterusnya.
“Saya nampak tahap permainan mereka semakin meningkat, cuma apabila ketinggalan, mereka cepat hilang keyakinan. Saya harap mereka tidak mudah putus asa kerana mereka sebenarnya mampu tampil lebih baik,” katanya.
Pang Ron-Su Yin dijadualkan meneruskan aksi di Terbuka India minggu depan dan dijangka bertemu Tang Jie-Ee Wei pada pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE