PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama pejabat Consul General (CG) di Los Angeles, Amerika Syarikat bersetuju memberi bantuan dan melaksanakan pelan evakuasi sekiranya perlu kepada pelajar Malaysia terkesan di sana.
KPT dalam satu kenyataan berkata, bantuan dan pelan evakuasi itu akan dilaksanakan melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai ‘shelter house’.
“Sehingga kini, pelajar yang terkesan seramai 14 orang daripada University of California, Los Angeles (UCLA) kerana berhampiran dengan lokasi kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, pada masa ini tiada arahan evakuasi dikeluarkan oleh pihak UCLA kepada pelajar tersebut,” katanya di sini hari ini.
KPT berkata, ketika ini, keadaan pelajar dilaporkan dalam keadaan baik dan pelajar akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.
“KPT melalui Kementerian Luar sentiasa mengikuti rapat perkembangan situasi di luar negara terutamanya melibatkan penempatan pelajar Malaysia di negara bergolak dengan situasi kecemasan seperti rusuhan, peperangan dan bencana alam.
“Kementerian ini mengambil maklum akan bencana yang menimpa Los Angeles sehingga menyebabkan pengisytiharan State of Emergency oleh Mayor Los Angeles, Karen Bass akibat kejadian Palisades Fire dan Windstorm,” katanya.
Susulan itu, KPT menerusi Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA) sentiasa memantau perkembangan terkini di Los Angeles dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar.
“Jadi, KPT ingin memperkenalkan sistem pembangunan data yang telah disediakan melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U.
“Pelajar amat digalakkan untuk mengemaskini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi KPT bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE