PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan akan mengumumkan berita gembira buat komuniti India Selasa ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, pengumuman berita bagi memperkasakan ekonomi komuniti tersebut dibuat sempena perayaan Ponggal.
“Tunggulah sampai Selasa depan. Saya akan umumkan. Kerajaan Madani cukup komited untuk menjamin harapan masyarakat India di negara ini.
“Seperti mana tujuh inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2024 dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Kasih Ponggal di Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Beliau turut mengagihkan tebu dan kit ponggal kepada lebih 4,000 penduduk masyarakat India daripada kumpulan B40 di kawasan tersebut pada program berkenaan.
Terdahulu, Ramanan berkata, program Semarak Kasih Ponggal membolehkan masyarakat India menyambut perayaan Ponggal pada Selasa ini dalam suasana ceria, sejahtera dan gembira.
Beliau turut berharap masyarakat India di Malaysia menjadikan sambutan perayaan musim menuai itu satu permulaan baharu bagi kaum itu lebih maju dan berjaya.
Ujar beliau, komuniti India perlu bersatu padu kerana penyatuan yang kuat dan padu akan memberi lebih banyak kebaikan serta kejayaan kepada komuniti berkenaan.
“Peranan masyarakat India dalam kemajuan negara amat signifikan. Marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita.
“Seiring dengan gagasan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – KOSMO! ONLINE