SEBERANG PERAI – Seramai 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga B40 serta anak yatim menerima kelengkapan sekolah bersempena Program Muhibbah Madani yang berlangsung di pekarangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bandar Perda, di sini, semalam.
Selain itu, sebanyak 6,500 keluarga B40 pula menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dengan bernilai RM100 sumbangan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yayasan wajar dipuji kerana mengambil menganjurkan program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra kerana mengambil inisiatif dan bekerjasama dengan Bank Rakyat serta MBSP termasuk kerajaan negeri untuk menyelaras dan memudahkan.
“Program ini bukan sahaja menyantuni rakyat, malah banyak inisiatif daripada badan sukarela. Sebab itu saya pilih untuk hadir berikan dokongan atas usaha yang baik ini,” katanya selepas menyempurnakan program berkenaan.
Sementara itu Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon berkata, pihaknya berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pimpinan sama ada peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini.
“Ini membuktikan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut memiliki matlamat yang sama iaitu membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE