IPOH – Seorang juruteknik di sini kerugian RM444,967 setelah tertipu dengan iklan pekerjaan dalam talian pada 21 November tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, polis daerah Ipoh menerima satu laporan berhubung perkara tersebut daripada mangsa berusia 42 tahun, Jumaat lalu.
Beliau berkata, pada 21 November 2024 mangsa telah melayari laman Facebook dan berminat dengan satu iklan pekerjaan dalam talian.
“Mangsa kemudian berurusan dengan suspek seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah memberikan tugasan kepada mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu dengan nilai berbeza mengikut jumlah kecil sehingga puluhan ribu.
“Mangsa dijanjikan akan menerima semula wang berserta komisen antara empat hingga 10 peratus daripada nilai bayaran telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zulkafli berkata, mangsa seterusnya membuat beberapa pemindahan wang secara dalam talian ke 10 akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM444,967.
Katanya, pengadu menyedari dirinya telah ditipu apabila sehingga kini belum menerima komisen seperti dijanjikan.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan pelbagai.
Zulkafli berkata, PDRM juga menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menarik atau memerlukan bayaran pendahuluan. – KOSMO! ONLINE