PEKAN – Perjalanan pulang sebuah keluarga daripada membeli barangan bersama-sama di bandar Rompin menjadi perjalanan terakhir apabila kesemua mereka menemui ajal selepas terlibat kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu menyaksikan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Hamzah Zahari, 52, penumpang hadapan yang juga isteri pemandu, Rahimah Awang Muda, 38, dan tiga anak mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang iaitu Ainul Mardhiyah Hamzah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim Hamzah, 8, dan Muhammad Lutfi Hamzah, 4.
Kejadian turut menyebabkan pemandu dan seorang penumpang MPV yang juga pasangan suami isteri masing-masing mengalami kecederaan di bahagian pinggang serta dada dan patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, semasa kejadian kelima-lima mangsa yang menaiki kereta Proton Wira dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Nenasi di Pekan manakala MPV dari arah Kuantan menghala ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar MPV yang sedang bergerak lurus.
“Akibat kemalangan pemandu dan empat penumpang kereta Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang penumpang MPV mengalami kecederaan,”katanya.
Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, manakala individu yang cedera dihantar ke Hospital Rompin.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan berselekoh dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan jalan basah. – KOSMO! ONLINE