KUCHING – Kumpulan Media Sarawak (SMG) yang memiliki stesen TV Sarawak (TVS) menegaskan penahanan pegawainya yang menarik perhatian umum tidak mempunyai kaitan dengan syarikat penyiaran itu.
Justeru, syarikat itu menggalakkan sebarang pertanyaan atau penjelasan berkenaan perkara tersebut diajukan terus kepada pihaknya melalui saluran komunikasi rasmi untuk memastikan maklumat yang sahih dan tepat.
“Kami memahami keprihatinan semua pihak terhadap perkara ini dan ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak berkaitan dengan Sarawak Media Group/TVS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut SMG, operasi mereka dijalankan seperti biasa dan kumpulan terus komited menjaga integriti dan mengekalkan kepercayaan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat umum.
“SMG/TVS berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkenaan sekiranya diperlukan,” katanya.
Terdahulu, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran dan seorang wanita direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE