fbpx

Empat maut: Kereta dipercayai masuk laluan bertentangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 8.9 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Kereta dipandu memasuki laluan bertentangan dipercayai menjadi punca meragut empat nyawa termasuk tiga sekeluarga di Kilometer 8.9 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kemalangan itu kereta Toyota Vios dinaiki empat mangsa yang maut tidak dapat mengelak dan melanggar sebuah lori Isuzu.

Katanya, dalam kemalangan itu pemandu dan semua penumpang dalam Toyota Vios berkenaan mengalami cedera parah di bahagian badan, kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan, manakala pemandu lori pula iaitu lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan bengkak di bahagian lutut.

“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingaa RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang terkoban dalam kemalangan tersebut adalah pasangan suami isteri,
Aieman Azriq Ahmad, 21, dan Nurul Fazilah Noor Azmi, 21, dan anak mereka, Aryan Khalif Aieman Azriq berusia enam bulan.

Seorang lagi yang maut dalam kereta tersebut adalah rakan pasangan itu iaitu Mohamad Rasyid Razali berusia 17 tahun.

Kesemua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Baru selepas isyak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI