PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 3.0 (RTK 3.0) dalam masa terdekat, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai pelaksanaan RTK 3.0.
“Pihak jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama program RTK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Program RTK 2.0 yang bermula pada 27 Januari 2023 telah berakhir sepenuhnya pada 30 Jun 2024. – KOSMO! ONLINE