JAKARTA – Seorang remaja lelaki di Indonesia nekad membakar motosikalnya di tengah jalan kerana berang disaman oleh polis trafik, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Pasaman Barat, wilayah Sumatera Barat baru-baru ini.
Ketua Polis Trafik Pasaman Barat, Rina Aryanti berkata, remaja dikenali sebagai Trison itu ditahan ketika menunggang motosikalnya di sebuah persimpangan.
“Trison didapati tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki geran motosikal.
“Remaja itu membakar motosikalnya gara-gara emosi dikenakan saman oleh polis trafik,” tambahnya.
Pelaku ditahan dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut. – AGENSI