LONDON – Sebuah sekolah menengah di England menerima kecaman ibu bapa kerana memasang kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam tandas pelajar, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku di Sekolah Sponne yang terletak di bandar Towcester, daerah Northamptonshire.
Langkah itu bertujuan membanteras tingkah laku anti-sosial dan vandalisme di dalam tandas sekolah.
“Pemasangan CCTV akan menghalang tingkah laku seperti buli, vandalisme, menghisap vape dan salah laku lain.
“Ia juga boleh membantu guru-guru menangani situasi tidak diingini dengan segera,” demikian menurut memo yang dihantar kepada ibu bapa awal minggu ini.
Meskipun dipasang di dalam tandas, beberapa bahagian penting seperti tempat membuang air kecil akan ‘dikaburkan’.
“Anak saya dan rakan-rakannya tidak selesa untuk menggunakan tandas akibat pemasangan CCTV ini.
“Saya memahami keperluan untuk menangani tingkah laku anti-sosial dan buli tetapi tindakan ini adalah melampau,” kata ibu bapa seorang pelajar. – AGENSI