BANYAK perkara yang perlu diambil kira jika mahu berkunjung ke sesuatu lokasi seperti kemudahan pengangkutan, tempat makan dan penginapan. Namun, ada satu lagi perkara penting perlu difikirkan iaitu bau.
Bayangkan tempatnya cantik, tetapi jika berbau busuk pastinya akan membuatkan sesetengah orang tidak mahu ke situ. Bau busuk bukan sahaja boleh ‘potong’ selera makan, malah mengundang masalah kesihatan.
Namun begitu, ada individu yang sanggup mencabar diri berkunjung ke tempat berbau busuk bagi mencipta memori melihat keindahan di sana. Sehubungan itu, pada kali ini, Cita Rasa menyenaraikan lima destinasi paling busuk di dunia.
1. Mumbai, India
DERIA bau anda akan diuji di Mumbai, India. Bandar itu bukan sahaja menghidangkan suasana sibuk, malah pengunjung akan mual dengan baunya yang sangat ‘memabukkan’.
Di pusat bandar itu, orang-orang kaya akan memenuhi bar mewah, manakala mereka yang miskin berkerumun di kawasan setinggan. Di situ terletaknya gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual pelbagai makanan.
Udaranya juga tebal dengan bau rempah India seperti kayu manis, buah pelaga dan cengkih.
Bukan itu sahaja, ia dikeruhkan lagi dengan asap ekzos kenderaan, jalan raya sesak, bau hanyir air bertakung dari longkang, timbunan sayur-sayuran membusuk dan bau najis lembu.
Ia diburukkan lagi dengan bau badan warga Mumbai yang berkeringat ketika berjualan dalam cuaca panas tropika.
2. Laguna Colorada, Bolivia
LAGUN berwarna merah pekat di barat daya Altiplano di Bolivia itu mempunyai pemandangan yang cukup menakjubkan. Lagun berlatarbelakangkan gunung berapi berwarna coklat gelap itu sering dikunjungi oleh burung flamingo.
Walaupun menyajikan pemandangan cantik, namun bau Laguna Colorada tidak sepadan dengan keindahannya. Bau busuk belerang dari gunung berapi berlegar di sekeliling tempat itu. Gunung itu juga berbahaya jika mahu merakam gambar dari dekat.
3. Fes, Maghribi
BANDAR Fes di Maghribi turut tersenarai sebagai tempat paling busuk di dunia. Hal ini kerana, di Fes terletaknya Chouara Tannery iaitu pusat penyamakkan kulit haiwan tertua yang dilakukan secara tradisional.
Kolam-kolam takungan yang merendam kulit-kulit haiwan itu mengeluarkan bau sangat kuat.
Antara bahan yang digunakan adalah najis burung merpati yang bertindak sebagai ammonia untuk membersihkan kulit tersebut.
Oleh itu, tidak hairanlah kawasan tersebut berbau sangat busuk. Namun, Fes tetap menjadi tarikan pelancong kerana keunikan memproses kulit haiwan untuk dijadikan pelbagai produk seperti beg tangan dan baju.
4. Pulau Seal, Afrika Selatan
MENJADI ‘rumah’ kepada 60,000 anjing laut, tidak menghairankan jika pulau kecil di luar pantai Teluk False iaitu berhampiran Cape Town, Afrika Selatan ini mengeluarkan bau tidak menyenangkan hidung.
Bau busuk daging, ikan dan najis 60,000 anjing laut itu sangat meloyakan. Namun, ramai pengunjung ke pulau tersebut untuk melihat kumpulan anjing laut yang comel.
5. Gunung berapi Ijen, Indonesia
PENGUNJUNG yang datang ke sini akan menghidu bau tengik di kawasan sekitar ketika kepulan wap kuning keluar dari lombong sulfur yang beroperasi di sekitar tasik gunung berapi tersebut.
Gunung berapi Ijen mempunyai tasik kawah berasid firus dengan keluasan 1 kilometer. Tasik atau danau ini merupakan lokasi perlombongan belerang.
Keadaan itu membuatkan kita berfikir sejenak bagaimana pekerja-pekerja melombong ketulan sulfur yang berbau seperti telur busuk itu.
Bukan sahaja berdepan bau busuk, asapnya juga boleh melarutkan gigi. Namun, mereka tiada pilihan dan perlu melakukan pekerjaan tersebut demi menyara kehidupan.