PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mahu memperbaiki lagi ketajaman pukulan sudut penalti bagi meningkatkan penyudah menjelang aksi keempat menentang TNB Thunderbolt di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.
Ketua Jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom mengakui anak buahnya banyak mensia-siakan peluang diperolehi daripada pukul sudut penalti pada tiga aksi terawal Liga Hoki Malaysia (MHL) setakat ini.
“Saya akui ratio jaringan yang dihasilkan daripada pukul sudut penalti dalam tiga perlawanan ini agak kurang memuaskan.
“Mungkin barisan pertahanan awal sudah dapat membaca dengan menutup ruang terutama terhadap Faizal (Saari). Kita akan baiki dan tukar taktikal,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan dengan UiTM HA – KPT di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin.
Dalam aksi tersebut, THT yang baru merangkul Piala Sumbangsih meneruskan rentak kemenangan ketiya berturut-turut dengan menumpaskan UiTM HA – KPT 3-1.
Mohd. Harfizi berkata, kemenangan itu amat bererti bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga malah hadiah buat penyokong tegar setelah lama tidak beraksi di laman sendiri.
Mengulas aksi dengan TNB Thunderbolt kelak, beliau menegaskan skuad kendalian tidak akan mengambil mudah dengan pasukan pembangunan tersebut.
“Kita tidak akan memandang mudah dan akan bermain seperti biasa memandangkan TNB Thunderbolt dibarisi rata-ratanya pemain remaja kebangsaan.
“Apapun kita tidak mahu keciciran mata di gelanggang sendiri bagi mencapai misi merampas semua kejuaraan liga,” katanya. – KOSMO! ONLINE