ALOR SETAR – Tiga nelayan dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke pangkalan selepas melakukan aktiviti merawai dekat Pulau Payar sejak petang semalam.
Mangsa, Asrulhisham Zainon, 47, Mohd Aiman Asrulhisham dan Mohd Amin dipercayai keluar merawai pada kedudukan 10.9 batu nautika barat pulau tersebut.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada anggota polis mengenai kehlangan mangsa yang dibuat ahli keluarga.
Katanya, bertindak atas laporan yang diterima, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menggerakkan bot Perkasa 1224 ke lokasi.
“Usaha mengesan bot itu turut melibatkan aset polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam. Sehingga ini tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan mangsa,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE