BARCELONA – Pemain sayap Liverpool, Luis Diaz dilaporkan menolak tawaran kontrak baharu untuk terus kekal bersama kelab Merseyside itu apabila memasang impian untuk menyertai Barcelona.
Barcelona kini giat mencari pemain sayap kiri baharu untuk memperkuat barisan serangan mereka dan selain Diaz, pemain Athletic Bilbao, Nico Williams turut berada dalam radar kelab gergasi La Liga itu.
Liverpool dikatakan menetapkan harga £50.2 juta (RM278.19 juta) untuk Diaz, tetapi Barcelona sebelum ini tidak meneruskan perbincangan serius dan keputusan tersebut membolehkan pengurus Liverpool, Arne Slot mendapatkan sentuhan Diaz.
Namun, spekulasi perpindahan Diaz ke Barcelona kembali hangat apabila laporan dari Sepanyol mendedahkan pemain Colombia itu menolak kontrak baharu Liverpool kerana merasa tawaran tersebut tidak setimpal dengan statusnya sebagai tonggak utama pasukan.
Pengarah sukan Barcelona, Deco melihat peluang itu sebagai jalan untuk memperkuat pasukan kendalian Hansi Flick dengan mendapatkan khidmat Diaz.
Faktor keinginan Liverpool untuk memburu lebih banyak trofi mungkin menjadi sebab Diaz terus setia, namun minat Barcelona yang berterusan berpotensi mengubah situasi pemain berusia 27 tahun itu dalam masa terdekat. – AGENSI