fbpx

K2

Evolusi fesyen Adira, kini gemar gaya ‘oversized’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIRA bijak menyuai padan pakaian yang dipakainya sama ada untuk gaya harian atau pun ketika menghadiri majlis tertentu.

SEIRING peredaran zaman dan pertambahan usia, gaya peribadi seseorang lazimnya akan berubah-ubah, sesuai dengan fasa hidup yang sedang dilalui.Pilihan pakaian dan gaya fesyen yang semakin pelbagai juga menjadikan seseorang itu mudah untuk bereksperimen dan mencari gaya paling sesuai dengan diri.

Berkongsi tentang evolusi fesyen peribadi, penyanyi dan pelakon berbakat besar, Adira Suhaimi, 33, memberitahu, dia menyedari akan perkembangan fesyen yang diperagakannya sejak bergelar selebriti.

Adira pada awal kemunculannya tidak memakai tudung dan terkenal dengan gaya rambut pendek.

Namun, wanita berkulit cerah itu kemudian tampil dengan imej berhijab pada 2014.

“Sebelum ini, ketika zaman saya masih belum memakai hijab, saya suka menggayakan apa sahaja pakaian asalkan ia selesa.

“Namun, apabila sudah bertudung, bertukar status menjadi seorang ibu dan pertambahan usia, gaya itu pun berubah sesuai dengan status diri,” katanya kepada Cita Rasa.

Jika dilihat, Adira cukup bijak menyuai padan pakaian yang dipakainya sama ada untuk gaya harian atau pun ketika menghadiri majlis tertentu.

IBU kepada empat orang cahaya mata ini lebih tertarik dengan gaya pakaian oversized.

Sama seperti wanita berhijab yang lain, Adira juga gemar bereksperimen dengan gaya tudung yang sesuai dengan dirinya lebih-lebih lagi ketika mula-mula mengambil keputusan untuk memakai tudung lebih 10 tahun lalu.

“Ketika awal-awal bertudung dulu, saya mencuba pelbagai gaya seperti selendang, tudung bawal dan juga turban.

“Kini, boleh dikatakan saya mempunyai semua jenis tudung yang ada di pasaran, seperti bawal, selendang, bahkan tudung jenis segera (instant) yang bersambung dengan topi.

“Tudung jenis itu menjadi antara gaya tudung pilihan saya kerana saya sukakan gaya yang moden,” katanya yang juga menyukai gaya tudung yang dimasukkan ke dalam baju.

Bercakap tentang pakaian pula, Adira berkata, dia tidak mempunyai satu gaya spesifik atau trend pakaian yang diikuti, namun menyedari bahawa dia kini tertarik dengan gaya pakaian bersaiz besar (oversized).

RONA putih menjadi warna paling disukai Adira kerana kelihatan lebih versatil.

Adira menyifatkan blazer oversized sebagai antara item fesyen yang wajib ada dalam almari pakaiannya kerana sukakan gaya yang longgar dan selesa apabila berpakaian.

“Saya suka blazer atau apa sahaja pakaian seperti kemeja atau blaus yang jenis oversized.

“Bagi saya, pada usia begini, bersama status saya sebagai seorang ibu, saya sukakan sesuatu yang longgar dan mudah untuk bergerak.

“Ini kerana saya mahu rasa selesa dalam pakaian yang diperaga,” katanya.

Selain pakaian oversized, kasut but tumit tinggi paras lutut turut menjadi item fesyen wajib ada dalam almarinya, memandangkan dia cukup gemar menggayakan kasut jenis itu sebagai pelengkap gaya.

Berkongsi tentang warna pilihan pula, ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, rona putih menjadi warna paling disukainya kerana kelihatan lebih versatil.

“Bagi saya putih cukup mudah digayakan untuk apa jua acara, bahkan saya juga melihat jika saya menggayakan warna putih, saya tidak perlu bersolek tebal atau berlebihan” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI