PETALING JAYA – Seorang anak memberi kejutan istimewa kepada bapanya yang berusia 50 tahun dengan menghadiahkan lelaki itu konsol PlayStation 5 (PS5) sebagai tanda kasih sayang.
Menerusi hantaran @sefhiaaa di TikTok, dia memberitahu bapanya bahawa dia ingin mengalihkan kereta, tetapi sebaliknya membawa beg biru masuk ke dalam rumah.
Bapanya terkejut apabila melihat beg bertulis ‘PlayStation 5’ menyambutnya dengan penuh kegembiraan.
Lelaki itu tersenyum lebar sambil menunjukkan beg ke arah kamera dan memberitahu, dia sedang menggigil kerana tidak menyangka menerima hadiah yang telah lama diidamkan daripada anaknya.
“Ayah gurau je. Ayah tak mahu beli pun. Kau beli ke untuk ayah? Betul ni? Sumpah? Terima kasih kak,” katanya masih tidak mempercayai apa yang berlaku.
Bukan itu sahaja, anaknya turut menghadiahkan pengawal Dragon Ball’s Goku dan permainan bola sepak yang pernah diminta oleh bapanya.
Lelaki itu kemudian memeluk erat anak perempuannya sambil mengucapkan terima kasih berulang kali, selain ucapan sama buat isteri kerana membenarkannya bermain permainan tersebut.
Perkongsian itu meraih perhatian pengguna media sosial yang terharu dengan kejutan penuh bermakna, malah turut memuji keprihatinan dan kasih sayang seorang anak kepada bapa.
“Terubat inner child (sisi anak kecil) ayah,” ujar @encikpemudahcara.
“Terkeluar sifat kanak-kanak seorang bapa yang ‘macho’ dan sopan,” usik @wanskull09.
“Umur 50 tahun tapi bila nampak PS5 macam 5 tahun. Comel betul,” komen @marsya. – KOSMO! ONLINE
@yoursefhiaaa AYAHKU ❤️ . #fyp ♬ takkan hilang budi doremi – Bomaxxx