PETALING JAYA – Malaysia yakin bahawa perkongsian kukuh bersama Pakistan akan diteruskan untuk berkembang, membuka peluang baharu dan memacu pertumbuhan bersama dalam sektor minyak sawit.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama Malaysia-Pakistan dalam sektor minyak sawit melalui perkongsian yang berjaya dengan membabitkan syarikat dari kedua-dua negara contohnya berkenaan projek dengan Pihak Berkuasa Pelabuhan Qasim antaranya memainkan peranan penting dalam memodenkan industri minyak masak di Pakistan.
“Ia bermula dengan terminal tangki penyimpanan 16,000 tan metrik dan berkembang menjadi sistem yang komprehensif, merangkumi kilang penapisan moden, kilang pengekstrakan pelarut dan terminal kargo cecair yang mengendalikan lebih 90 peratus minyak sawit yang memasuki Pakistan.
“Malah kapasiti penyimpanan keseluruhan berkembang melebihi 200,000 tan metrik,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama sempena Pakistan Edible Oil Conference ke-7, Pakistan hari ini.
Tambah Johari, kehadiran Malaysia dalam tempoh jangka panjang dalam industri minyak masak di Pakistan memberikan platform yang hebat untuk meneroka peluang baharu dan memperkukuh matlamat bersama.
“Saya amat berharap untuk melihat Pakistan kembali menyertai ‘Million Ton Club’ untuk import minyak sawit Malaysia, yang mencerminkan potensi kerjasama ini. Malah berharap dalam pertambahan kerjasama bagi produk hiliran sawit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Johari yang menyertai perbincangan meja bulat bersama penggiat utama industri minyak dan lemak Pakistan berkata, Malaysia bersedia untuk menjadi pemain industri terbesar dalam pembekalan minyak sawit di Asia Tengah, khususnya di negara tersebut.
Kata Johari, beliau menerima banyak pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri di negara itu yang mahu melihat Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat pada masa hadapan.
Katanya, penggiat industri mahu Malaysia menjadi pembekal kepada bukan sahaja di Pakistan, malah di Asia Tengah dengan negara itu menjadi hab untuk eksport produk sawit di rantau itu. – KOSMO! ONLINE