KANGAR – Tempoh reman terhadap seorang pengurus akaun sebuah badan berkanun di Perlis disambung tiga hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah sambung reman terhadap wanita berusia 30-an itu dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar, Nurshahida Abdul Rahim.
“Seorang lagi kakitangan wanita badan berkanun berusia 40-an yang ditahan pada 7 Januari lalu dan direman sehingga hari ini, telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” kata sumber tersebut.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan SPRM menahan dua kakitangan badan berkanun di Perlis, termasuk seorang pengurus akaun kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan wang sebanyak RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Laporan itu menyebut siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2020 hingga 2024.
SPRM turut merampas barangan mewah termasuk barang kemas bernilai RM100,000 yang disyaki hasil penyelewengan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, mengesahkan sambungan reman tersebut. Beliau memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE