IPOH – Usaha untuk menarik warga tempatan yang menjadi tenaga pengajar atau pensyarah di luar negara kembali berkhidmat di Malaysia sedang dilaksanakan ketika ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri mengadakan pertemuan dengan anak-anak Malaysia terbabit untuk melihat peluang mereka menyumbang kepada negara.
Beliau memberi contoh terdapat rakyat Malaysia yang menjadi tenaga pengajar di institusi pendidikan teknikal di Jepun, negara yang terkenal dengan kepesatan teknologi.
“Di merata tempat, ramai sekali anak-anak Malaysia. Contohnya, kita anggap negara yang ada kehebatan teknikal Jepun. Seringkali kita belajar daripada mereka, rupanya tanpa disedari ramai anak Malaysia mengajar di universiti (di Jepun).
“Sebab itu kita sedang berbincang bagaimana mereka boleh kembali menyumbang mengajar di institusi-institusi kita (di Malaysia),” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan bagi projek menyiapkan baki kerja ubah suai kampus cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.
Zambry berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan melihat konsep mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia dapat menyumbang kepada negara sam ada secara langsung dan tidak langsung.- KOSMO! ONLINE