fbpx

Pengusaha lori samseng arah pemandu tinggalkan kenderaan, rosakkan GPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Kifli memeriksa muatan treler yang ditimbang di JPJ Cawangan Taiping hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS

TAIPING – Sikap angkuh dan samseng segelintir pengusaha lori kini di bawah radar tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tidak hanya menghalang tugas penguat kuasa, mereka didapati mengarahkan pemandu meninggalkan lori di tepi jalan dan merosakkan sistem posisi sejagat (GPS) supaya kenderaan tidak dapat dihidupkan untuk dibawa ke mana-mana cawangan JPJ berhampiran untuk diuji timbang berat.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya memandang serius insiden itu yang bukan sahaja mencabar undang-undang tetapi turut menggugat keselamatan dan kelancaran lalu lintas.

“Pengusaha-pengusaha lori ini juga dilaporkan mengugut pemandu trak penunda supaya tidak bekerjasama dengan pihak JPJ bagi menunda kenderaan mereka ke Pusat Timbang JPJ.

“Kita akan membuka kertas siasatan ke atas syarikat pengangkutan terbabit dan menyerahkan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya. Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya kepada pemberita ketika di JPJ Cawangan Taiping di sini hari ini.

Muhammad Kifli berkata, seksyen itu pertama kali akan digunakan untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap pengusaha lori yang berlagak samseng.

Beliau berkata, sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM250,000.

Katanya, lesen pengendali syarikat mereka juga bakal dibatalkan sebagai amaran keras terhadap tindakan melanggar undang-undang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI