KLANG – Dua penyamun termasuk seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diberkas di Taman Sentosa di sini, semalam selepas terlibat dalam kes pecah rumah baru-baru ini.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 34 dan 39 tahun dilakukan pukul 3.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mereka dikehendaki hasil laporan polis dilakukan seorang mangsa berusia 50 tahun apabila kerugian kira-kira RM5,000 selepas rumahnya di Taman Sri Sentosa Jaya dipecah masuk suspek pukul 3.30 petang pada 15 Januari lalu.
Katanya, mangsa yang merupakan pemandu lori kehilangan televisyen jenama LG – 40 inci, amplifier, speaker, wang tunai RM300 dan kunci lori jenis Scania.
“Bertindak hasil maklumat, polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek di Taman Sentosa Klang dan menemukan semula beberapa barangan milik mangsa serta peralatan elektronik dipercayai hasil jenayah pecah rumah lain.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam tiga kes pecah rumah apabila aktif sejak awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kata beliau, modus operandi suspek adalah menggunakan pemotong dan kuku kambing bagi mematahkan besi pintu grill rumah mangsa.
Shamsul Amar menegaskan, hasil siasatan turut mendapat suspek disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap pekerja dan tuan rumah yang melakukan pengubahsuaian kediaman mereka.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah serta positif syabu.
“Seorang daripada suspek juga merupakan bekas tahanan Sosma kerana menyertai kumpulan kongsi gelap 24 Apache,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -K!ONLINE