KOTA TINGGI – Pengguna jalan raya dinasihatkan agar tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air banjir susulan keadaan arus deras dan merbahaya untuk dilalui.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman, berkata ia berikutan insiden sebuah kereta yang cuba meredah laluan digenangi air banjir di Jalan Lukut Cina berhampiran Taman Aman awal pagi tadi namun hanyut dibawa arus.
Katanya, bagaimanapun pemandu berusia 52 tahun itu berjaya diselamatkan selepas kereta dinaiki tersangkut di wayar tiang elektrik di situ.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak meredah laluan digenangi air banjir walaupun menganggap ia masih boleh dilalui dan tidak dalam.
“Air banjir yang menenggelamkan jalan selalunya berarus deras dan ia membahayakan pengguna jalan raya serta merisikokan nyawa jika kenderaan dinaiki hanyut dibawa air banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi itu, petugas Respond Team Polis Kota Tinggi berjaya menyelamatkan seorang lelaki apabila kenderaan yang dipandunya hanyut dibawa arus sebelum tersangkut pada wayar tiang elektrik di Jalan Lukut Cina berhampiran Taman Aman di sini. – KOSMO! ONLINE