PETALING JAYA – “Ada sesetengah tempat macam zon perang, kosong jadi abu dijilat api.”
Itu kata pelakon Jasmine Suraya Chin yang menjadi antara 180,000 mangsa kebakaran hutan di empat wilayah di Los Angeles sehingga penduduk terpaksa berpindah ke kawasan selamat.
Aktres yang tinggal di Sunset iaitu berhampiran West Hollywood mengakui detik paling mencemaskan adalah ketika menerima mesej arahan berpindah bertalu-talu membuatkanya panik.
Kata aktres yang menyambung pengajian peringkat Sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles, Amerika Syarikat sejak Mac tahun lalu itu, situasi pada waktu tersebut sangat kelam kabut dengan penduduk berpusu-pusu meninggalkan kediaman masing-masing.
“Kawasan tempat saya tinggal sekitar tujuh minit berkereta dari Palisades iaitu antara empat wilayah paling terjejas teruk sejak kebakaran merebak Isnin lalu.
“Walaupun boleh nampak api dan asap dari kejauhan, saya tak sangka api merebak dengan pantas sampaikan saya tergamam tak tahu nak bawa apa barang kerana perlu meninggalkan rumah segera.
“Saya tak boleh berfikir, sambar sahaja telefon, powerbank, komputer riba dan agak lucu juga sebab saya bawa sekali barangan tidak perlu kerana terlampau kalut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Sudah berada di tempat selamat, pelakon filem Paskal itu menganggap pengalaman dilalui cukup mencabar apabila seolah-olah dalam filem yang menonjolkan kisah dunia hampir kiamat dengan helikopter berlegar di udara.
“Situasinya macam filem yang menggambarkan dunia dah nak berakhir. Mulanya saya ingat api dah reda, rupanya api dari atas gunung merebak ke bawah gunung,” katanya.
Pada masa sama Jasmine, 35, menzahirkan kesedihan terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal, insan tersayang serta binatang peliharaan.
“Tidak tergambar akan berdepan situasi sebegini namun saya bersyukur selamat, begitu juga dengan tenaga pengajar dan rakan sepengajian Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg.
“Hati saya untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini. Ada rumah teman saya musnah dijilat api dan ada juga yang belum dapat khabar mengenai haiwan kesayangan. Semua ini menyedihkan.
“Saya pun terima banyak mesej dari tanah air yang bimbangkan keadaan saya. Minta maaf kepada mereka yang saya tak sempat saya balas mesej. Saya okey di sini,” katanya.
Menurutnya, difahamkan api sudah dapat dikawal di kawasan kediamannya sekali gus membolehkanya dan rakan kembali rumah mereka dalam tempoh terdekat.
Sehingga semalam, angka korban kebakaran hutan di Los Angeles meningkat kepada 10 orang semalam dengan enam kebakaran besar merebak di Palisades, Eaton, Hurst, Lidia, Sunset dan Kenneth. – KOSMO! ONLINE