KUALA LUMPUR – Seramai 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di salah satu lokasi tumpuan pelancong di ibu negara iaitu ‘Petaling Street’ petang semalam.
Serbuan menerusi operasi “KL Strike Force”
oleh 55 anggota termasuk pegawai daripada Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur itu bermula kira-kira pukul 6 petang.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil operasi selama sejam di kawasan tumpuan itu telah memeriksa 77 orang warga asing.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 34 daripada mereka tidak mempunyai dokumen ataupun pas imigresen yang sah dan kesemua ditahan berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun.
“Berdasarkan pecahan, tangkapan melibatkan 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, dua Pakistan dan masing-masing seorang Nepal dan Mauritius.
“Kesemua yang ditahan adalah lelaki dan mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Jalan Duta untuk siasatan lanjut,”katanya di sini semalam.
Wan Mohammed Saupee berkata, kesalahan paling banyak dikesan adalah melibatkan salah guna pas dan tidak bekerja di sektor atau majikan yang ditetapkan.
“Ada yang didapati memegang pas untuk sektor pembinaan, pas sektor pencucian dan pembersihan serta beberapa sektor lain.
“Selain itu, kita turut melakukan pemeriksaan terhadap premis yang mengupah warga asing berkenaan dan empat pemilik premis warga tempatan telah dikenakan saman serta dikehendaki untuk hadir ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut,”ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan, serta hantaran di media sosial yang mengatakan bahawa Petaling Street kini dikuasai oleh warga asing.-KOSMO! ONLINE