KOTA MARUDU – Seorang warga emas maut apabila lori dipandunya terbabas dalam kejadian di Kampung Mengaris, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, kejadian yang berlaku pukul 7.49 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 68 tahun tersebut mati di tempat kejadian kerana tersepit.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan bertugas mendapati suatu kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir terbabas sendiri di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Hydraulic Jack),” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE