BAGAN SERAI – Dua vesel nelayan tempatan kelas B bersama empat warga asing yang bekerja secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.4 kilometer barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau di sini pada pukul 1.35 petang semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha Sharip berkata, dua vesel terbabit dikesan oleh anggota bot Perkasa 1238 ketika ia sedang melakukan aktiviti perikanan di lokasi terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua vesel tersebut dikendalikan oleh empat orang kru warganegara Myanmar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui,” katanya di sini hari ini.
Syuhadha berkata, kesemua nelayan ditahan manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
“APMM menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan orang ramai dengan menghubungi APMM di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau iaitu 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE