SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes penggubahan wang haram membabitkan ketua pegawai eksekutif sebuah stesen penyiaran di Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau baharu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung kes berkenaan.
“Kes masih dalam siasatan, jadi biar pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) lengkapkan siasatan dulu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sistem kod respons pantas (QR) pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Media semalam melaporkan, polis menahan lima individu menerusi Op Ragada susulan daripada satu laporan yang diterima pada Oktober lalu.
Razarudin berkata, pengadu memaklumkan mengesan beberapa transaksi mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank yang dikesan berlaku antara 2017 hingga September tahun lalu.
Lima individu berusia 26 hingga 62 tahun yang ditahan termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya dan dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE