LUMUT – Sebuah rumah kedai dua tingkat yang dikesan digunakan sebagai stor penyimpanan barang kawalan tanpa lesen di Seri Manjung di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada pukul 10.12 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung itu dilakukan setelah pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti mencurigakan oleh pemilik sebuah premis perniagaan di lokasi terbabit.
“Pemantauan dan risikan awal mendapati premis berkenaan adalah tempat penyimpanan barang sejuk beku.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan telah menemukan barang kawalan gula pasir kasar 1 kilogram (kg) sebanyak 551kg, tepung gandum pelbagai jenama sebanyak 1,224.20kg dan minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 500kg disimpan di dalam premis tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, siasatan awal ke atas pemilik premis mendapati dia gagal untuk mengemukakan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong atau Runcit bagi barang kawalan gula, tepung gandum dan minyak masak untuk menjalankan aktiviti urus niaga barang kawalan di premis tersebut.
Beliau berkata, sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik premis berkenaan.
“Kesemua barang kawalan tersebut telah disita dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM4,703.27,” katanya. – KOSMO! ONLINE