PETALING JAYA – Ratu boling negara, Natasha Roslan mencatat sejarah cemerlang apabila menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia menjulang trofi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) selepas kemenangan cemerlang di Hong Kong.
Pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan dengan menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks, 2-0 (217-166, 226-169) dalam final di Top Bowl, Kai Tak Sports Park.
Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan rekod cemerlang Natasha sebagai pemain Malaysia pertama yang memenangi dua kejohanan berprestij apabila sebelum ini, Natasha turut muncul juara perseorangan wanita di Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.
Kemenangan bersejarah Natasha menamatkan penantian 13 tahun Malaysia untuk kejayaan di Piala Dunia IBF, selepas Syafiq Ridhwan Abdul Malek meraih gelaran pada 2012 di Wroclaw, Poland.
Malaysia sebelum ini sering hampir memenangi gelaran wanita, namun hanya berakhir sebagai naib juara.
Antara yang pernah mencuba ialah Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (2017), Sin Li Jane (2014, 2018) dan legenda bolong negara, Shalin Zulkifli (1996).
Dalam kategori lelaki, impian Rafiq Ismail untuk menambah gelaran dunia buat Malaysia hampir tercapai, namun dia tewas tipis kepada wakil China, Du Jian Chao, 2-1 (222-223, 226-166, 235-193) dalam aksi final semalam.
Kemenangan Natasha turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet negara itu.
“Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia. Pencapaian saudari luar biasa dan sangat membanggakan,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.- KOSMO! ONLINE.