KUALA LUMPUR – Penyerahan barangan berharga seperti barang kemas dan wang tunai secara fizikal antara modus operadi terbaharu sindiket ‘phone scam’ untuk menjerat mangsa.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihak scammer akan meletakkan barangan tersebut di sesuatu tempat sebelum mengarahkan mangsa mengambilnya.
Jelasnya, taktik tersebut tidak melibatkan pertemuan secara bersemuka, namun ia memberi gambaran bahawa sindiket ‘phone scam’ telah semakin agresif dalam melakukan penipuan.
Selain itu katanya, taktik lain yang turut dikesan adalah dengan menyamar sebagai pegawai di National Scam Respon Center (NSRC).
“Melalui taktik ini, pegawai ‘NSRC’ akan
menghubungi mangsa dan memaklumkan nombor telefon mangsa dikesan terlibat kes jenayah.
“Panggilan kemudiannya disambungkan
kepada pihak Polis, Bank Negara Malaysia dan sebagainya, sebelum mangsa diarahkan membuat pembayaran,”katanyabdalam satu kenyataan.
Bagaimanapun kata Ramli, NSRC merupakan
pusat panggilan yang bersifat komunikasi sehala iaitu hanya menerima panggilan dari orang awam.
“Sejumlah 24 kes direkodkan sepanjang tahun
2024 berkaitan penyamaran sebagai pegawai NSRC melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1,905,328.89,”ujarnya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sepanjang tahun lalu, sejumlah 2,824 kes ‘phone scam’ telah direkodkan dengan nilai kerugian keseluruhan RM142,077,549.77.
Jelas beliau kebanyakan mangsa dalam kalangan wanita adalah seramai 1,703 orang manakala lelaki seramai 1,121 berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun.
“Sebagai langkah pembanterasan, sepanjang tahun 2024, JSJK telah melancarkan pelbagai operasi dan serbuan bagi menumpaskan kegiatan phone scam dan hasilnya, 1,320 individu telah berjaya ditahan.
“Antara lain, 1,142 kes yang disiasat sepanjang tahun 2024 juga telah berjaya dituduh di mahkamah,”katanya.-KOSMO! ONLINE