ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang dengan pakaian serta kasutnya ditemui di tepi longkang berhampiran rumahnya di Taman Tunku Tabor dekat Jalan Gangsa di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa yang dikenal pasti merupakan kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun.
Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.35 malam tadi.
“Ibu kanak-kanak memaklumkan pakaian dan kasut anaknya ditemukan di tepi longkang berhampiran rumahnya,” katanya.
Tambahnya, kedalaman longkang itu dianggarkan antara satu hingga 1.5 meter dan bersambung dengan Sungai Kedah.
“Jarak antara rumah kanak-kanak itu dengan longkang berkenaan dianggarkan kira-kira 200 meter. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan tersebut, sedang giat dijalankan untuk mencari kanak-kanak tersebut,” katanya.
Ketika ini difahamkan pihak polis telah membawa unit anjing pengesan (K9) dalam usaha menjejaki kanak-kanak berkenaan. – KOSMO! ONLINE