KOTA MARUDU – Seorang lelaki bernasib baik terselamat selepas kenderaan yang dia pandu dihanyutkan arus deras sewaktu cuba menyeberangi ‘low level crossing’ Sungai Simpangan, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu, mangsa mengalami detik cemas berkenaan ekoran kenderaan pacuan empat rodanya tersangkut di batu sungai sebelum dibawa arus.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan berjaya naik ke bumbung kereta untuk menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, penduduk kampung yang melihat kejadian itu menghubungi bomba kira-kira pukul 5.20 petang.
“Sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian dan setibany di lokasi, anggota bertugas mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah hanyut oleh arus deras ketika cuba menyeberangi jalan konkrit di sungai berkenaan.
“Pasukan bomba lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bertindak menyeberang sungai untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat. – KOSMO! ONLINE