ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nyata lebih unggul dalam pertemuan ‘pasukan bermasalah gaji’ pada aksi saingan Liga Super hari ini apabila mereka menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN FC) 1-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Sejak perlawanan dimulakan, KDA FC jelas menguasai permainan dengan Sang Kenari lebih banyak mengatur serangan dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-16 menerusi rembatan kaki kanan Fayadh Zulkfli.
Melihat deretan serangan gagal membuahkan hasil pada separuh masa pertama, Ketua Jurulatih Interim KDA FC, Victor Andrag memasukkan Ebenezer Assifuah bagi menggantikan penyerang import dari Serbia, Milos Gordic.
Bagaimanapun, perlawanan berlangsung hambar selepas itu dengan kedua-dua pasukan dilihat gagal mencari ruang untuk melakukan percubaan tepat.
Pada minit terakhir perlawanan, KDN FC hampir menyamakan kedudukan namun tandukan pemain pertahanan, Afzal Akbar hanya sedikit tersasar ke kiri pintu gol walaupun penjaga gol KDA FC sudah tertewas dan hanya mampu tergamam melihat bola melintasi gawangnya. – KOSMO! ONLIN3