KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk melengkapkan hari cemerlang kem badminton negara pada kejohanan Terbuka Malaysia 2025 tidak tertunai apabila tersingkir di suku akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, pasangan No.24 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 26-24, 21-15.
Ee Yi berkata, kelebihan beregu lawan dari segi fizikal selain kemampuan untuk melakukan serangan demi serangan meletakkan mereka dalam keadaan ‘lemas’ bagi menepis pukulan-pukulan tersebut.
“Walaupun kalah set pertama tetapi ia tidak ganggu momentum kerana set kedua, kami berjaya mendahului terlebih dahulu. Bagaimanapun, selepas 11 mata, mereka menukar strategi dan masuk (menyerang) depan.
“Serangan mereka sangat padu, ditambah pula dengan fizikal yang tinggi, jadi kami tidak boleh banyak angkat bola (bulu tangkis). Kami cuba tidak buat pukulan tinggi tetapi mereka lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia adalah menerusi dua gandingan terbaik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada 2022.
Dalam pada itu, Goh V Shem-Lim Khim Wah merupakan beregu lelaki negara terakhir memenangi kejohanan tersebut ketika menewaskan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-19, 21-18 pada edisi 2014.
Terdahulu, dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sudah melayakkan diri ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE